PUSAT PERKHIDMATAN ILMU KOMUNITI SUNGAI TINGGI

MERAPATKAN JURANG DIGITAL ANTARA BANDAR & LUAR BANDAR

Ahad, 15 Mac 2009

Kampung Sg Tinggi


Kampung Sg.Tinggi terletak di mukim Sg.Tinggi,Jajahan Larut Matang dan Selama.Kg Sg Tinggi merupakan sebuah kawasan nelayan.Khazanah semulajadi di kawasan ini banyak membantu penduduk setempat meningkatkan taraf hidup masing-masing.Ladang-ladang kelapa sawit juga turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sini.
Walaupun Bandar Taiping merupakan bandar yang terdekat, namun jaraknya yang agak jauh, iaitu kira-kira 35 km dari kawasan kampung menyebabkan Pekan Sungai Kerang menjadi tumpuan penduduk di Kampung Sungai Tinggi membeli barangan keperluan. Sungguhpun kecil, pekan ini mampu menyediakan pelbagai keperluan untuk penduduk di sekitar kawasan Mukim Sungai Tinggi.Jumlah penduduk di Kampung Sungai Tinggi adalah dianggarkan seramai kira-kira 1,000 orang. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar, diikuti dengan kaum Cina dan India. Rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai nelayan dan ada yang tertumpu di bidang perniagaan secara runcit dan kecil-kecilan. Ada pula mencari rezeki dalam aktiviti perladangan kelapa sawit.

Kebanyakan penduduk di Kampung Sungai Tinggi menjadikan kegiatan nelayan sebagai sumber pendapatan utama. Jeti di Sungai Kerang menjadi tempat berkumpul para nelayan turun ke sungai mencari rezeki. Jeti ini juga menjadi tempat pelabuhan bot-bot nelayan. Sungai Panchor, Sungai Kerang dan Kuala Sungai Jarum Mas menjadi tempat nelayan menangkap ikan, menternak dan menangguk kerang serta menjalankan penternakan siput.

Ada penduduk yang menternak udang galah dan udang harimau. Selain penternakan udang, ada juga yang menternak lintah, burung layang-layang, lembu dan ikan keli dalam kanvas.Pokok kelapa sawit juga menjadi sumber pendapatan sebahagian penduduk di Kampung Sungai Tinggi. Pejabat Pertubuhan Peladang Sungai Tinggi menjadi tempat pengumpulan buah-buah sawit di sekitar kawasan Mukim Sungai Tinggi. Namun, ada juga penduduk yang mengikuti Projek Pertanian Fertigasi anjuran Jabatan Pertanian.

Nama Kg Sg.Tinggi diberikan oleh penduduk asal yang meneroka kawasan ini. Ketika itu, terdapat sebatang sungai berhampiran kawasan yang baharu dibuka. Sungai ini dikatakan mempunyai tebing yang tinggi dan curam. Melalui tebing yang tinggi itulah, kawasan yang baharu diteroka dinamakan Kampung Sungai Tinggi. Ketika zaman penjajahan British, Kampung Sungai Tinggi merupakan sebuah pelabuhan yang terkenal. Selain menjadi tempat persinggahan kapal-kapal pedagang, ia juga menjadi kawasan pihak British memungut cukai.

Sebuah rumah rehat kemudiannya didirikan oleh pihak British di sini. Rumah rehat ini dijadikan sebagai tempat bermalam pegawai-pegawai British yang datang ke Kampung Sungai Tinggi untuk memungut cukai. Kini, tapak bekas rumah rehat tersebut telah didirikan sebuah dewan untuk kegunaan penduduk. Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Tinggi menjadi tumpuan penduduk kampung untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti tempat mesyuarat dan meraikan kenduri perkahwinan serta majlis-majlis formal.







0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama